Tugas sepanjang hayat..

Monday, February 22, 2010

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Assalamu'alaikum wbth buat sahabat2 PUTERI'06 dan para pembaca..
artikel di bawah ini pernah sy nukilkan dalam blog sy pd bulan Jun 2008.sy nukilkan kembali dlm blog ini unt peringatan bersama dan sebagai peringatan bg diri yg lupa.semoga mendapat manfaat.


Firman Allah SWT :
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan,menyuruh(berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.(Ali Imran:104)

Tugas untuk menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran merupakan tanggung jawab yang terpikul atas setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT.Setiap Muslim wajib menjalankan amanah ini tidak kira siapa,bila, dan di mana anda berada. Tanggung jawab menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran bukanlah dibebankan kepada golongan-golongan yang khusus menuntut dalam bidang agama sahaja, tetapi merupakan tanggung jawab bersama sesiapa sahaja yang beriman.Tidak perlu menunggu untuk memikul jawatan sebagai Pengerusi Persatuan, ketua Unit Pembangunan Insan,AJK Unit Hisbah, atau AJK badan da’wah,anda sememangnya telah dipertanggung jawabkan untuk melaksanakan amanah ini tidak kira apa jua posisi anda dalam masyarakat.

Melaksanakan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.Anda tidak perlu untuk petah berkata-kata dan berpidato untuk menyampaikan ceramah.Cukup sekadar ingatan kepada sahabat-sahabat terdekat, ahli keluarga dan lain-lain tentang kebesaran Allah SWT,sama-sama menanamkan rasa taqwa dalam diri untuk takutkan azab Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarang.

Namun begitu, sebagai seorang Muslim yang mempunyai kekuatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT, kita perlulah mensyukuri nikmat-nikmat kurniaanNya dengan cara menghalakan segala kelebihan yang diberikan itu ke arah melaksanakan ketaatan kepadaNya.Caranya mudah, jika anda diberikan kelebihan dalam bidang lukisan, anda mampu melaksanakan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar ini dalam bentuk lukisan kartun, dan sebagainya.Jika anda seorang yang mempunyai suara yang merdu bak buluh perindu, tentunya gelanggang nasyid menjadi pilihan.Begitu juga bagi anda yang bijak berkarya,bersajak,berpidato, dan punya kelebihan-kelebihan yang lain.Pendek kata, segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT itu perlulah digunakan atas tujuan untuk menyeru manusia dan mengingatkan manusia untuk taat kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

Dalam arus yang serba moden hari ini,kita perlu melihat bahawa kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar ini bukan lagi satu alasan.Sudah tentu kemajuan teknologi komputer dan internet tidak dapat dinafikan lagi.Manfaatkanlah segala ruang yang ada seperti e-mail, friendster, Yahoo!messanger,Youtube,dan lain-lain untuk mengingatkan manusia untuk kembali kepada Tuhan Yang Esa.Tetapi, apa yang menyedihkan hari ini, ramai yang menyalahgunakan kemajuan teknologi tersebut untuk perkara-perkara maksiat dan dosa kepada Allah SWT.

Ingatlah wahai insan sekalian, bahawa kita sepatutnya malu dengan Allah SWT atas segala maksiat dan kemungkaran yang telah kita lakukan. Cubalah kalian hitung dalam kehidupan kita setiap hari, berapa banyak dosa dan maksiat telah kita lakukan??betapa derhakanya kita, apabila Tuhan memberikan kita mata untuk melihat kebesaranNya,mulut untuk berzikir dan mengingatiNya, tetapi kita gunakan untuk memandang perkara yang haram, mulut berkata perkara-perkara yang keji,mengumpat dan sebagainya.Betapa malunya hidup sebagai manusia, yang menghirup udara dan bernafas atas nikmat Allah SWT tetapi menjadi hambaNya yang derhaka!tentunya ikan-ikan di air, dan burung-burung di udara lebih mulia kerana mereka tidak putus-putus bertasbih memuji kebesaran Allah SWT jika dibandingkan dengan manusia yang sering lalai dan leka.

Firman Allah SWT:
Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)Nya ke dalam (tubuh)nya dan dia menjadikan pendengaran, penglihatan, dan hati bagimu,(tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur. (As-Sajdah:9)

Ingatlah peringatan Allah SWT bahawa neraka itu akan diisi dengan golongan jin dan manusia yang telah diberi hati, mata, dan telinga, tetapi tidak mahu menggunakannya untuk memahami, memerhati, dan mendengarkan ayat-ayat Allah SWT. Malahan, Allah SWT mengumpamakan orang yang sedemikian lebih buruk lagi daripada haiwan ternakan.

Firman Allah SWT:
“Dan sungguh,akan kami isi neraka jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia.Mereka memiliki hati,tetapi tidak dipergunakan untuk memahmi (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat(tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah).Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi.Mereka itulah orang-orang yang lengah.
(Al-A’raf:179)

Justeru, marilah kita sama-sama muhasabah diri, menghitung diri masing-masing yang seringkali alpa dan leka.Hidup di dunia ini tentunya hanyalah untuk seketika. Tempat persinggahan yang tidak akan kekal.Setiap dari kita pastinya akan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.Oleh itu, siapkanlah dirimu untuk menuju negeri yang kekal abadi.Sudahkah kita bersedia untuk menempuh hari diperhitungkan amalan?Bahagialah bagi mereka yang mendapat rahmat dan pengampunan dari Tuhannya.

Bersamalah kita mohon keampunan, rahmat dan kasih sayang Allah SWT agar hidup diberkati dan sentiasa berada di jalan yang diredhaiNya.Ingatlah! bahawa menjadi kewajipan kita untuk menyeru para sahabat, kaum keluarga dan masyarakat untuk sentiasa kembali kepada Allah SWT.Melaksanakan segala perintahNya, dan meninggalkan apa yang dilarang.

Akhir kalam, marilah kita hayati hadith Nabi SAW daripada Abu Barzah Nadhlah b. ‘Ubaid al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “belum berganjak kaki seorang hamba (di hadapan Allah SWT pada hari kiamat) sehingga terlebih dahulu ia ditanya tentang umurnya,untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya,daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya ,untuk apa digunakannya” (Hadith Riwayat Tirmizi)


Wallahu’alam.

0 comments:

 
PUTERI 06 - by Templates para novo blogger